Kemahiran Mencari
Maklumat
Maklumat yang tepat
menjamin ketepatan keputusan dan keberkesanan tindakan. Tanpa maklumat tertentu
sesetengah keputusan tidak dapat dibuat atau sekiranya dibuat, boleh membawa
akibat yang buruk dan mengaibkan. Dalam dunia yang semakin berasaskan maklumat dan mengalami kebanjiran maklumat,
kita harus bijak mencari jalan bagi mendapat maklumat yang tepat dan
menggunakannya dengan berkesan.
Kemahiran mencari maklumat adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Tetapi
kemahiran mencari maklumat juga bergantung kepada kedudukan ekonomi dan tempat
di mana kita berada.
Ada beberapa perkara penting yang perlu diketahui dan difahami untuk
melengkapkan diri sebagai pencari maklumat yang mahir dan aktif.Pertama sekali adalah mengetahui dorongan / sebab mencari maklumat, diikuti
dengan memahami sikap manusia apabila berdepan dengan maklumat. Setiap orang
mempunyai dorongan yang berbeza semasa mencari maklumat. Ada yang memerlukannya
untuk tujuan ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan dan lain-lain. Dorongan yang
berbeza ini membentuk persepsi dan motivasi yang berbeza pula semasa berdepan
dengan maklumat. Manakala sikap atau psikologi manusia itu turut mempengaruhi kemahiran mereka
dalam mencari maklumat. Terdapat berbagai teknik untuk menganalisa sikap
manusia semasa berhubungan dengan dunia maklumat. Salah satu teknik itu menunjukkan ada orang yang mencari maklumat sekadar di
permukaan, ada yang mencari secara mendalam dan ada pula yang bersifat meneroka
sejauh yang mungkin secara rawak.
Memahami keperluan maklumat diri dan cara diri kita mencari maklumat adalah
satu bentuk pemahaman di peringkat meta yang membolehkan kita menguasai
kemahiran maklumat pada tahap yang lebih baik.
Selain itu, kemahiran mencari maklumat juga bergantung kepada sejauh mana
seseorang itu tahu tentang bentuk dan sumber maklumat.
Maklumat boleh wujud dalam bentuk artifak, lukisan, imej, ensiklopedia, indeks,
abstrak, buku tahunan, almanak, jurnal, buku, majalah, cakera padat,
mikrofilem, mikrofiche, lisan, kaset, video dan banyak lagi.
Manakala sumber
maklumat pula boleh jadi daripada manusia, bahan bercetak, bahan digital, bahan
artifak, bahan filem, bahan seni, bahan bunyi dan lain-lain.
Kemahiran mencari
maklumat bagi setiap bentuk dan sumber ini berbeza pula dan memerlukan teknik
yang berbeza juga untuk mendapat hasil yang sepatutnya. Contohnya untuk
mencari bahan digital melalui enjin carian Google, sekiranya seseorang itu
memahami konsep asas capaian kembali maklumat atau information retrieval dia akan dapat mencari bahan dengan lebih
tepat berbanding orang yang tidak tahu. Begitu juga apabila ingin mencari bahan
bercetak di perpustakaan, ada peraturan asas penyusunan buku di perpustakaan yang
perlu difahami seperti nombor panggilan dan cara pengelasan bahan. Termasuk dalam
kemahiran mencari maklumat adalah kebolehan kita menduga di mana bahan yang
kita kehendaki berada. Ini perlu dipelajari berdikit-dikit melalui pengalaman
mencari maklumat yang terdahulu ataupun daripada pembacaan dan penerangan orang
lain.
Ada bahan digital yang
boleh didapati di Internet, tetapi ada juga bahan yang kita tahu wujud di dunia
maya tetapi tidak boleh dicapai kecuali menggunakan kata laluan dan sebagainya.
Kita perlu peka dan menyiasat kewujudan bahan itu di tempat kita, mungkin
melalui institusi tertentu yang boleh membantu. Ada juga bahan yang
istimewa dan disimpan di tempat khusus dan memerlukan kebenaran khusus untuk
menggunakannya seperti artifak atau bahan arkib.
Terakhir sekali adalah
kebolehan kita untuk menilai maklumat yang telah berjaya kita cari, dan ini
masih lagi merupakan rentetan daripada kemahiran kita mencari maklumat.
Kemahiran menilai maklumat ini wajar dibicarakan dalam satu ruangan lain yang
akan memberi kesempatan sebuah penerangan yang lebih sempurna.
Semua kemahiran
mencari maklumat yang disebutkan di atas ada ditawarkan di pusat pengajian
tinggi oleh pihak perpustakaan. Malah di peringkat antarabangsa, kemahiran ini
dijadikan suatu subjek wajib bagi setiap fakulti dengan usaha sama antara
pensyarah dan pustakawan.
Walaupun masih jarang
kedengaran perpustakaan awam di negara ini mengambil daya usaha membuka kelas
khas kemahiran mencari maklumat, tetapi ia patut dijadikan satu agenda penting
sesebuah perpustakaan.
Melalui cara ini perpustakaan dapat bergerak
seiring dengan keperluan masyarakat yang sentiasa berdepan dan adakalanya
terbeban dengan kebanjiran maklumat. Usaha untuk merentas jurang digital dan
mengejar kemajuan teknologi negara maju pula harus menjadi agenda penting
negara supaya rakyat sendiri tidak tercicir dalam menguasai maklumat, kerana
maklumat adalah suatu bentuk kuasa.
courtesy: pa-900
No comments:
Post a Comment